6 cedera, bas rempuh treler

6 cedera, bas rempuh treler

TANGKAK: Seorang lelaki cedera akibat tersepit apabila bas persiaran dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 144.6, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Selatan berhampiran Bukit Gambir, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar berkata, dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu, bas dalam perjalanan dari Perak menghala ke Johor Bahru dilaporkan merempuh sebuah treler jenis Volvo.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah Bas Ekpress Holiday dan sebuah treler Volvo yang mengakibatkan seorang mangsa, iaitu pemandu bas berusia 40 tahun tersepit.

“PKO bertindak mengeluarkan mangsa dan setelah berjaya, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, lima lagi penumpang dilaporkan mengalami cedera ringan, manakala baki 18 penumpang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd. Farizan berkata, seramai sembilan anggota dengan dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Operasi tamat pukul 7.16 pagi. – UTUSAN