6 kontena minuman keras seludup dirampas

6 kontena minuman keras seludup dirampas

bhnews@bh.com.my

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) merampas enam kontena yang disyaki mengandungi minuman keras seludup dalam satu operasi di sekitar Pelabuhan Utara, di sini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Abdullah Jaapar, berkata operasi menumpaskan sindiket penyeludupan pada 14 hingga 22 Februari itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor).

“Dalam operasi ini, pasukan menemui enam kontena di beberapa lokasi di kawasan terbabit dan di dalamnya terdapat pelbagai minuman keras disyaki belum mendapat kelulusan pihak Kastam.

“Enam kontena yang dirampas dipercayai membawa barang larangan Butiran 3, Jadual ketiga/ Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 155,040 liter.

“Nilai rampasan kira-kira RM396,000 dan jumlah duti/cukai dianggarkan sebanyak RM2,294,001.60,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, siasatan mendapati kandungan di dalam kontena terbabit diikrarkan sebagai pelbagai barangan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Siasatan mendapati, kontena yang mengandungi minuman keras seludup ini tidak diikrarkan sebagaimana barang di dalam kontena.

“Minuman keras ini akan dihantar ke Jabtan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

“Setakat ini, dua lelaki warga tempatan berumur 30-an bertindak sebagai agen ditahan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tak berkastam atau apa-apa barang larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top