Kepala Batas: Seramai 60 peserta KPS Berhad Caregiver Initiative 2026 diraikan selepas berjaya menamatkan latihan selama enam minggu dalam bidang penjagaan warga emas.
Inisiatif pelaburan sosial anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) itu memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga penjaga yang kompeten dan berkemahiran bagi memenuhi keperluan sektor penjagaan warga emas yang semakin berkembang.
Majlis Graduasi KPS Berhad Caregiver Initiative 2026 berlangsung di Petak Padin Cottage, di sini, baru-baru ini.
Semua peserta dipilih menerusi sesi temu duga sebelum menjalani latihan membabitkan dua minggu pembelajaran teori dan empat minggu latihan praktikal di pusat jagaan terpilih.
Antara pusat jagaan terbabit ialah Big Tree Medicare & Nursing Home, Pusat Jagaan Jawi dan Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan.
Inisiatif itu dikendalikan Cality Care Malaysia selaku penyedia latihan dengan menggunakan modul berteraskan Australia’s Certificate III in Individual Support (Ageing).
Modul berkenaan memberi penekanan terhadap pengetahuan dan kemahiran praktikal yang diperlukan dalam sektor penjagaan warga emas, selain nilai empati, kesabaran, komunikasi dan integriti.
Ketua Pegawai Kelestarian KPS Berhad, Zulkifli Mawardi, berkata peningkatan populasi warga emas memerlukan Malaysia membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih tersusun, profesional dan berdaya tahan.
“Keperluan penjagaan warga emas tidak boleh dilihat sebagai isu keluarga semata-mata kerana ia adalah keperluan sosial yang semakin penting.
“Melalui KPS Berhad Caregiver Initiative, kami mahu membangunkan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran, keyakinan dan laluan kerjaya yang jelas, selain membantu keluarga mendapatkan akses kepada penjagaan lebih berkualiti,” katanya.
Melahirkan lebih 350 peserta
Menurutnya, selepas tujuh tahun dilaksanakan, inisiatif berkenaan sudah melahirkan lebih 350 peserta yang menamatkan latihan dan menerima pensijilan dalam bidang penjagaan warga emas.
Katanya, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan laluan kerjaya, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan asnaf.
“Kesemua graduan yang mengikuti inisiatif ini sejak 2019 berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang penjagaan warga emas termasuk bersama penyedia perkhidmatan kesihatan, pusat jagaan dan majikan di seluruh negara.
“Berdasarkan penilaian impak program, 80 peratus peserta mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000 sebulan sebagai penjaga bebas,” katanya.
Zul berkata pencapaian itu membuktikan pembangunan kemahiran menerusi inisiatif berkenaan bukan sekadar menyediakan latihan dan pensijilan, sebaliknya membuka peluang pekerjaan serta membantu meningkatkan taraf sosioekonomi peserta.
Tambahnya, KPS Berhad turut melihat keperluan memperhalusi fokus inisiatif berkenaan sejajar perubahan keperluan sektor penjagaan warga emas, khususnya bagi golongan yang memerlukan penjagaan lebih khusus dan berkeperluan khas.
Dalam pada itu, KPS Berhad merakamkan penghargaan kepada Cality Care Malaysia selaku rakan pelaksana dan penyedia latihan serta pusat jagaan yang menyediakan ruang latihan praktikal kepada peserta.
Penghargaan turut diberikan kepada Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang atas kerjasama meningkatkan kemahiran kakitangan menerusi latihan peningkatan kemahiran, sekali gus menyumbang kepada mutu perkhidmatan penjagaan warga emas.
© New Straits Times Press (M) Bhd

