Pengemis berkerusi roda ditangkap pukul cermin kereta dengan kayu

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berkerusi roda ditahan polis selepas dipercayai mengetuk cermin sebuah kereta menggunakan sebatang kayu di simpang lampu isyarat Jalan Sekerat, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, pemilik kereta terbabit membuat laporan polis kerana ketakutan dan trauma dengan tindakan pengemis terbabit.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Lim, 38, berkata, dia menaiki kereta bersama ibu bapanya serta anak perempuannya ketika berhenti di lampu isyarat berkenaan.

“Seorang lelaki berkerusi roda dilihat bergerak dari sebuah kereta ke kereta lain dipercayai mengemis wang dan apabila sampai ke kereta kami, bapa menggelengkan tangan ke arahnya dan tidak menurunkan cermin sebelah pemandu kerana enggan melayannya.

“Pengemis itu kemudian mengeluarkan kata-kata kesat sebelum mengambil sebatang kayu yang ada bersamanya dan memukul cermin kereta kami beberapa kali,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Lim, terkejut dengan perbuatan pengemis itu, dia kemudian mengajak bapanya membelok ke kiri laluan dan bergegas meninggalkan lokasi berkenaan.

“Walaupun cermin kereta tidak pecah namun kami masih trauma serta takut dan mengambil keputusan memuat naik kejadian itu di Facebook dengan harapan orang ramai berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan.

“Secara kebetulan seorang pemandu yang berada di belakang kereta kami semasa kejadian memiliki rakaman perbuatan lelaki itu melalui kamera papan pemuka yang kemudian menjadi bukti kejadian,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, semakan rekod mendapati pengemis berumur 42 tahun itu mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dadah dan dia bukan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU).

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah. Suspek kini dalam tahanan reman,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top