Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM15.5 juta bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026).
Pencapaian memberangsangkan kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia itu diraih menerusi hasil yang mencecah RM780.2 juta.
Media Prima dalam kenyataan hari ini berkata, meskipun terpaksa berdepan persekitaran operasi yang mencabar, hasil bukan pengiklanan Kumpulan kekal stabil dari tahun ke tahun hasil pelaksanaan langkah berhemah.
“Inisiatif pengurusan kos secara berdisiplin sepanjang tahun kewangan berkenaan berjaya mengurangkan impak penurunan hasil perbelanjaan pengiklanan tradisional secara berkesan.
“Segmen perniagaan Kumpulan turut mempamerkan kestabilan dengan Perniagaan Beli-Belah Dari Rumah mencatat peningkatan hasil sebanyak 10 peratus berikutan jualan kukuh saluran e-dagang dan penawaran produk baharu,” katanya.
Menurutnya, segmen Pengiklanan Luar Rumah Media Prima turut mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak tiga peratus yang disokong peningkatan ruang paparan.
Bagi suku keempat (4QFY26), Media Prima terus mengekalkan rentak keuntungan dengan merekodkan PAT berjumlah RM2.4 juta daripada hasil RM184.6 juta.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid berkata, prestasi FY2026 mencerminkan keteguhan strategi Kumpulan di tengah-tengah persekitaran industri yang dinamik dan cabaran ekonomi.
“Keupayaan kami untuk mengekalkan keuntungan di sebalik cabaran hasil mencerminkan disiplin operasi dan tadbir urus kewangan yang berhemah.
“Melangkah ke tahun kewangan baru, Lembaga Pengarah kekal komited untuk memimpin Kumpulan secara proaktif bagi memastikan kami terus mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali berkata, keputusan FY2026 membuktikan keberkesanan strategi Kumpulan yang memberi fokus kepada kecekapan kos dan kepelbagaian pendapatan.
“Prestasi menggalakkan dalam segmen Perniagaan Beli-Belah Dari Rumah dan Pengiklanan Luar Rumah telah membantu mengimbangi penurunan perbelanjaan pengiklanan tradisional.
“Fokus kami untuk tahun kewangan baru ini adalah melaksanakan pelan hala tuju strategik tiga tahun seterusnya yang akan tertumpu kepada kecemerlangan operasi, memperkukuh aset media teras, serta memacu perniagaan pertumbuhan baharu,” katanya.
Susulan prestasi positif ini, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen tunai pertama dan akhir tunggal satu peringkat sebanyak 1.0 sen bagi setiap saham biasa yang akan dibayar pada 7 Oktober 2026.
Dalam pada itu, Media Prima terus komited menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai lebih RM5.1 juta menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP sepanjang FY2026, termasuk RM3 juta bantuan kemanusiaan di Palestin.
Melangkah ke hadapan, Kumpulan berhasrat memperkukuh kepimpinan pasaran merentas platform media serta meneroka peluang hasil alternatif bagi mencapai pertumbuhan perniagaan yang mampan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

