Petaling Jaya: Satu video tular di media sosial apabila seorang doktor mendoakan orang awam supaya dijangkiti penyakit Covid-19.
Dua video berasingan yang dimuat naik di Twitter masing-masing berdurasi dua minit 20 saat dan 30 saat menyaksikan sebuah kereta yang dipercayai seorang doktor melakukan pusingan U sesuka hati di kawasan sekitar Hospital Serdang, Serdang.
Tindakan wanita itu nyaris menyebabkan kemalangan dengan kenderaan lain.
Pengguna Twitter Fadzli Amin atau @Fadzmin yang memuat naik dua video tersebut itu dalam ciapannya memaklumkan bahawa pemandu tersebut yang juga seorang doktor telah melakukan provokasi.
“@kkmm_gov @KKMPutrajaya macam ni ke sahsiah seorang doktor? Lokasi di Hospital Serdang.
“Cara dia melakukan pusingan U membahayakan orang lain dan melakukan provokasi melampau. Wajarkah seorang doktor doakan orang kena Covid-19?,” ciap @Fadzmin di akaun Twitternya.
Dalam pada itu, menurut sumber, Hospital Serdang menafikan wanita terbabit ialah kakitangan atau seorang Doktor di Hospital Serdang.
Sehingga pukul 2 petang semalam video tersebut mendapat kira-kira 1.38 juta tontonan di Twitter.
Namun, ada juga dakwaan mengatakan wanita berkenaan adalah seorang pensyarah fakulti perubatan di sebuah universiti awam iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM).
Berikutan peristiwa itu, menerusi satu ciapan di laman sosial Twitter, pihak UPM mengeluarkan maklum balas.
UPM menyatakan bahawa mereka memandang serius tentang isu berkenaan dan akan menjalankan siasatan bagi mengambil tindakan selanjutnya.
“UPM memandang serius berkenaan hal ini dan ia adalah reaksi spontan peribadi beliau.
Dan tatakelakuan beliau sama sekali tidak mencerminkan sahsiah serta etika yang sepatutnya diterapkan oleh warga UPM.
“Sehubungan itu, perkara ini sedang dalam siasatan pihak UPM untuk tindakan selanjutnya,”
Tulis Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM dalam maklum balas tersebut.
Kemudiannya, selepas dikecam teruk, pemandu wanita itu akhirnya memohon maaf.
Wanita yang dikenali sebagai Prof Madya Dr Bahariah Khalid itu membuat permohonan maaf menerusi akaun Instagramnya, @bahariahkhalid_
“Jika saya salah, saya minta maaf. Jika saya betul, saya maafkan semua. Spread the positivity (sebarkan p0sitiviti),” tulisnya pada satu posting yang dimuat naik lewat malam Rabu.
Malay News
Social Media Updates



