Hamilton muncul semula di media sosial

Hamilton muncul semula di media sosial

LONDON: Pemandu Formula Satu (F1), Lewis Hamilton kembali keluar daripada ‘kepompong media sosial’ selepas beberapa bulan menyepi dari akaun Instagram miliknya.

Bintang British berusia 37 tahun itu, hilang daripada media sosial sejak terlepas gelaran dunia di tangan Max Verstappen dalam satu perlumbaan kontroversi di Grand Prix Abu Dhabi musim lalu.

Sejak itu, spekulasi mula bertiup kencang sejak Disember dengan ada antaranya mengatakan Hamilton mungkin bersara daripada F1.

Namun menjelang musim 2022, Hamilton menyertai rakan gandingan baharunya di Mercedes, George Russell untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina di laman sosial Weibo.

Pemandu itu bagaimanapun belum memuatnaik sebarang hantaran di Instagram, Twitter mahupun Facebook sejak Disember lalu dan hanya sekali kelihatan buat kali pertama ketika mendapatkan minuman kopi di California, baru-baru ini.

Dalam satu hantaran singkat berdurasi lima saat, Hamilton berkata: “Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina. Moga tahun baru ini membawa kamu tuah dan apa saja yang dihajatkan.”

Russell dalam pada itu berkata: “Hai semua. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina. Saya teruja menyertai keluarga AMG dan menjadi sebahagian daripada keluarga terpantas di dunia. Jumpa anda nanti dan kekal selamat.”

– AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top