COVID-19: Denmark, Norway jadi negara EU batal kebanyakan sekatan

COVID-19: Denmark, Norway jadi negara EU batal kebanyakan sekatan

COPENHAGEN: Denmark dan Norway semalam menjadi dua negara Kesatuan Eropah (EU) pertama membatalkan kebanyakan sekatan yang dibuat untuk memerangi COVID-19.

Menurut pegawainya, langkah itu dibuat walaupun terdapat kes COVID-19 membabitkan varian Omicron.

Denmark tidak lagi menganggap pandemik berkenaan sebagai ‘penyakit kritikal sosial’ kerana ia tidak membebankan sistem kesihatan, selain negara itu mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi.

Perdana Menteri, Mette Frederiksen ketika temubual bersama radio Denmark, berkata adalah terlalu awal untuk mengetahui sama ada langkah itu mungkin perlu dilakukan semula.

“Saya tidak berani mengatakan ia adalah benar-benar menjadi selamat tinggal terakhir kepada sekatan COVID-19.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada musim luruh. Sama ada akan muncul varian baharu,” katanya.

Denmark, negara yang mempunyai penduduk kira-kira 5.8 juta dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan purata lebih daripada 50,000 kes harian, manakala bilangan pesakit yang dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) hospital menurun.

Dalam pada itu, Ketua Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark, Soren Brostrom berkata kepada stesen penyiar Denmark TV2, perhatiannya tertumpu kepada bilangan pesakit yang berada di ICU bukannya jumlah jangkitan.

“Jumlah itu kian berkurangan dan sangat rendah,” katanya.

Katanya, hanya 32 pesakit COVID-19 dirawat di ICU dan beberapa minggu lalu ia meningkat kepada 80 orang.

Sekatan paling ketara yang dihapuskan adalah pemakaian pelitup muka yang tidak lagi diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam, kedai dan untuk pelanggan tetap di kawasan dalaman restoran.

Pihak berkuasa hanya mengesyorkan penggunaan pelitup muka di hospital, kemudahan penjagaan kesihatan dan pusat jagaan.

Sekatan lain yang turut dihapuskan adalah peraturan mewajibkan penggunaan sijil digital yang diperlukan untuk memasuki kelab malam, acara parti dan menikmati makanan di dalam restoran. – AP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top