Kuala Lumpur: Empat negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ditukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata negeri lain iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal di bawah PKPB.
“Enam negeri PKPB iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status kepada Peringkat Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Pelaksanaan PKPB dan PKPP bagi negeri ini berkuat kuasa 5 Mac hingga 18 Mac ini kecuali Sarawak bermula 2 Mac hingga 15 Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkembangan pelaksanaan PKP hari ini. Ismail Sabri berkata, Perlis pula kekal dengan status PKPP.
Katanya, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan itu selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa penularan kes COVID-19 di seluruh negara.
“KKM turut mengesahkan kes COVID-19 di seluruh negara ketika ini menunjukkan trend penurunan. “Begitu juga dengan kadar kebolehjangkitan atau nilai R-naught yang menurun daripada 1.2 kepada 0.8 peratus.
“Selain itu, kes kluster dan sporadik serta kes dalam komuniti juga menurun,” katanya.
Malay News
National Desk



