Yuna beraksi dalam konsert Hora Horey Didi & Friends

Kuala Lumpur: Menyokong kempen ‘duduk di rumah’, program animasi popular, Didi & Friends yang pernah mengungguli kategori Program Pra-Sekolah Terbaik pada Anugerah Televisyen Asia Ke-24, membawa Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends.

Disajikan dalam dua edisi, versi Bahasa Melayu mula ditayangkan di Astro First pada 25 Februari lalu, disusuli versi Bahasa Inggeris mulai 25 Mac depan.

Konsert Hora Horey Wayang Didi & Friends menjadi filem animasi tempatan pertama yang menemui penonton di rumah, melalui Astro First, tahun ini.

Selepas kejayaan dua konsert terdahulu iaitu Konsert Hora Horey Didi & Friends pada 2018 dan Konsert Hora Horey LIVE! Didi & Friends pada 2019, Astro dan Digital Durian teruja mempersembahkan edisi terbaru konsert ini.

Dengan kutipan melebihi RM2.7 juta pada 2018, konsert sulung memberi pengalaman sinematik yang unik di pawagam. Konsert kedua pula dipersembahkan secara langsung untuk memberi pengalaman konsert muzikal interaktif.

Pengarah Eksekutif Digital Durian, Sinan Ismail, berkata pihaknya sentiasa mendahului dengan menghasilkan kandungan hiburan yang mengujakan dan berkualiti.

“Jenama Didi & Friends diperkenalkan pada 2014. Kami sentiasa komited untuk memastikan evolusi animasi dengan teknologi terkini serta progresif.

“Ini bagi memberi pengalaman berbeza kepada penonton. Kami yakin Astro First adalah platform yang terbaik untuk konsert ini dibawa secara menyeluruh dan lebih dekat kepada penonton,” katanya kepada media.

Sinan berkata, bagi konsert ketiga, Yuna, Hael Husaini dan Altimet dipilih sebagai hadiah buat peminat dan penonton.

“Kami percaya mereka ada bakat dan aura tersendiri yang mampu menjadi tarikan buat penonton cilik serta dewasa.

“Harapan kami dengan kehadiran konsert ini di pawagam rumah anda, ia dapat memberikan pengalaman menarik kepada penonton. Ini mampu memberi impak dan fenomena dalam industri animasi tempatan,” katanya.

Pada konsert ketiga, Yuna menyanyikan lagu Bunga Matahari, Altimet (Bingo 2020) dan Hael (Rindu Serindunya).

Watak utama iaitu Didi, Nana dan Jojo juga tampil berbeza untuk konsert ini.

Selain itu, karakter Pak Atan, Tatak dan Bingo turut meriahkan Konsert Hora Horey Wayang. Untuk karakter nakal, watak Boon, Roon dan Mummy ditampilkan. Watak Omar dan Hana juga muncul dalam lagu Ninja.

Konsert ini dikendalikan Kak Hani dan Abang Paan. Apa yang menarik, buat kali pertama, konsert ini dipadatkan dengan jalan cerita dan plot penuh drama.

Konsert berdurasi 90 minit ini menampilkan 33 lagu iaitu masing-masing tujuh dendangan baharu dan lama yang digubah semula serta 19 lagu daripada siri Didi & Friends.

Antara dendangan itu adalah Rasa Sayang, Kalau Rasa Gembira, Mengantuknya Mumia, Bunyi Anak Haiwan dan Rawr Rawr Raksasa.

Sumber: Berita Harian

Scroll to Top