bhnews@bh.com.my
KUANTAN: Seramai 10,298 kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 11 tahun sudah mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Pahang menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) sehingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata sehingga kini, sebanyak 168 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka bagi pemberian vaksin kanak-kanak.
Katanya, daripada jumlah itu, 46 PPV sekolah, 35 pasukan outreach sekolah, 65 PPV Klinik Kesihatan (PPVKK), 11 PPV hospital, satu PPV Awam dan 10 PPV `offsite’.
“PICKids Pahang telah bermula pada 3 Februari lalu dengan pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak komobid di 11 SPPV.
“Ia diteruskan dengan pemberian vaksin kepada semua kanak-kanak bermula 14 Februari lalu.
“Anggaran populasi kanak-kanak yang layak menerima vaksin kanak-kanak di Pahang ialah seramai 192,600 orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nor Azimi berkata, sehingga kelmarin, sejumlah 10,298 suntikan diberikan kepada kanak-kanak dengan pencapaian liputan sebanyak 5.3 peratus.
“Oleh itu, kita harap lebih ramai kanak-kanak akan mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




