bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dua anak antara tiga individu ditahan polis selepas disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah jenis heroin membabitkan rampasan bernilai lebih RM61,000.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang menjalankan Op Bret menyerbu sebuah kediaman di Taman Maluri, Cheras, pada jam 9.25 pagi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 26 hingga 41 tahun dalam serbuan itu.
“Hasil pemeriksaan dalam sebuah kenderaan milik seorang suspek menjumpai sebuah beg galas berisi 10 bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin seberat 4.53 kilogram.
“Dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan ia diperoleh dari negeri di Utara Semenanjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shokri berkata, polis turut merampas semua dadah itu bernilai RM61,231 dan wang tunai RM671.
Selain itu, beliau berkata, saringan air kencing mendapati dua suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita negatif.
“Semakan mendapati semua suspek yang bekerja sendiri sudah beberapa kali ditahan atas kesalahan dadah. Salah seorang suspek lelaki sudah berkeluarga, seorang lagi masih bujang manakala wanita terbabit pula adalah ibu tunggal kepada dua anak,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga suspek direman antara lima dan tujuh hari dari 19 hingga 25 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Beliau juga meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




