SAO PAULO: Bintang Paris Saint-Germain dan Brazil, Neymar berkata dia “sangat berminat” bermain dalam Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat (AS) pada penghujung kariernya.
Penyerang berusia 30 tahun itu Sabtu lalu menerusi siaran di YouTube bersama ikon Brazil, Ronaldo berkata dia tertarik dengan kalendar MLS.
“Saya tidak tahu sama ada saya akan kembali bermain di Brazil. Saya sangat berminat untuk bermain di AS. Sekurang-kurangnya semusim,” katanya.
“Kejohanan di sana pendek, anda ada tiga atau empat bulan bercuti,” katanya sambil ketawa.
“Saya boleh bermain bertahun-tahun seperti itu.”
Dia juga menyedari rungutan terbaharu bahawa dia tidak sepenuhnya menghormati persembahannya bersama pasukan kebangsaan Brazil.
Pada Oktober, Neymar menjadi tumpuan apabila mengatakan dia boleh menamatkan karier antarabangsa selepas Piala Dunia 2022 apabila berkata tekanan fizikal menyukarkan dirinya.
Dia menyambung kontrak bersama PSG pada Mei hingga Jun 2025 ketika usianya akan mencecah 33 tahun.
“Saya banyak berjenaka dengan rakan-rakan, saya katakan usia 32 tahun ialah umur yang sesuai untuk bersara,” katanya.
“Tetapi secara serius, saya tidak tahu. Saya akan bermain hingga mental saya keletihan. Saya akan terus bermain selagi badan dan minda saya bagus.” – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




