MOM harap isu persatuan sukan sepak takraw diselesaikan segera

MOM harap isu persatuan sukan sepak takraw diselesaikan segera

KUALA LUMPUR: Kemelut antara dua badan sukan sepak takraw kebangsaan bersama Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) mendapat perhatian Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden MOM, Tan Sri Mohd Norza Zakaria berkata mereka sedar akan krisis dihadapi dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin supaya tidak merencatkan proses pembangunan sukan berkenaan.

Katanya, MOM akan menerima dan mengiktiraf persatuan sukan sebagai ahli gabungan apabila mereka turut diterima di peringkat antarabangsa namun menegaskan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih berada bersama mereka ketika ini.

Namun, status itu mungkin berubah sekiranya ASTAF membuat keputusan untuk menerima satu lagi badan sepak takraw kebangsaan yang baharu, Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC).

“Sebagai Presiden MOM, sudah pastinya saya mahu krisis PSM ini diselesaikan secepat mungkin kerana dalam sukan perlu kurang berpolitik dan lebih kepada memajukan sukan itu.

“Jika situasi ini terus berlanjutan mungkin akan mengganggu gugat perkembangan sukan takraw negara. Melihat kepada senario sekarang ini, apa saja keputusan mereka (ASTAF) akan jadi ahli gabungan kita.

“Setakat ini, PSM masih lagi ahli gabungan kita, namun kita akan mengadakan perbincangan jika ASTAF mengiktiraf persatuan lain,” kata Norza ketika ditemui media selepas majlis menandatangani perjanjian rakan kongsi antara BAM dan PETRONAS, hari ini.

Sebelum ini, ASTAF seakan memberi bayangan yang MSC sudah ‘sebelah kaki’ untuk bersama badan induk Asia itu manakala PSM sudah melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin ASTAF sebanyak AS$15,000 ((RM63,886.25) semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top