Tubuh jawatankuasa khas selesai isu tanah terbiar

Seremban: Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembangunan (JKP) bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan isu tanah terbiar di Bukit Pelanduk, Port Dickson, dekat sini, sejak 20 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, tanah terbiar itu membabitkan kawasan seluas 713.3 hektar.

Katanya, sebelum ini virus Nipah menyerang kawasan berkenaan pada tahun 1999 yang menyebabkan 108 kematian dan kemungkinan lebih ramai lagi kematian akibat barah berpunca permasalahan timbul kesan penternakan babi ketika itu.

“Untuk mengelakkan pembaziran akibat tanah terbiar berkenaan dan memastikan pembangunan boleh dilaksanakan di kawasan itu, jawatankuasa khas akan mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh iaitu pemilik tanah di kawasan itu.

“Ia akan dimulakan dengan sesi santai untuk mendengar pandangan rakyat yang boleh melontarkan idea dan pandangan bagaimana tanah di kawasan itu wajar dibangunkan.

“Adakah pemegang taruh masih berminat dalam penternakan atau mahu mencadangkan kemajuan dari perspektif yang lain. Namun ahli JKP akan mendapatkan pandangan majoriti dalam usaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan berkata, Jawatankuasa terbabit diberi tempoh antara enam sehingga 12 bulan untuk menjalankan perincian dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco) bagi dipertimbangkan.

Mohamad Rafie berkata, sebagai langkah permulaan, satu mesyuarat diadakan di sini, membabitkan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta wakil-wakil penduduk yang berkepentingan.

“Kerajaan negeri serius untuk memajukan bekas kawasan yang menjadi ladang babi terbesar di rantau ini itu dengan projek pembangunan yang sesuai sebagai langkah memajukan kawasan itu untuk masa hadapan.

“Lokasi berkenaan dilihat strategi kerana terletak dalam kawasan berhampiran dengan Lembah Klang dan amat berpotensi untuk dimajukan dan kita (kerajaan negeri) berharap usaha ini akan membuahkan hasil yang baik,” katanya.

Scroll to Top