Sepang: Sebanyak 17 rumah di Taman Seroja Bandar Baru,Salak Tinggi (BBST) dan beberapa kawasan perumahan di sini mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, setakat ini, pihaknya dimaklumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Taman Dahlia dan Apartment Casa Dahlia turut mengalami kerosakan.
Katanya, hujan lebat bersama ribut itu turut merosakkan khemah di Sekatan Jalan Raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
“Setakat ini, jumlah rumah yang rosak masih belum dapat disahkan lagi dan Pengerusi Penduduk akan mengadakan perjumpaan bersama mangsa untuk urusan dokumentasi bagi penyaluran bantuan bencana oleh agensi dan kerajaan,” katanya ketika dihubungi.
Antara khemah sekatan jalan raya yang dilanda ribut adalah yang berada di Jalan BBST/Nilai; Jalan Pekan Salak/Kota Seriemas; Jalan Salak/Jijan;Jalan Sepang/Labu; Tol Serenia dan Tol Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata pihaknya mengesahkan kejadian ribut di beberapa kawasan perumahan dan SJR yang berlaku semalam.
Katanya, pihaknya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang sudah mengadakan operasi pembersihan khemah yang rosak di kawasan SJR yang terkesan.
“Operasi pembersihan itu membabitkan mengalih khemah yang rosak dan menghalang laluan,” katanya.




