hifzuddin@bh.com.my
PADANG BESAR: Atas kertas, tiada siapa mampu menafikan bahawa Parlimen Padang Besar sepatutnya mampu dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan rekod keputusan lalu.
Mempunyai lima Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Mata Ayer dan Santan, Padang Besar selama ini dianggap kerusi fixed deposit atau ‘simpanan tetap’ BN, sukar untuk ditembusi pembangkang sekian lama.
Keputusan PRU14 menyaksikan BN menang bergaya kelima-lima kerusi DUN berkenaan, sekali gus membantu pelantikan semula Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar pada 2018.
Malah, ketika tsunami politik melanda negara pada PRU14, penyandang kerusi, Datuk Zahidi Zainul Abidin masih mampu menang dengan majoriti 1,438 undi di kawasan yang mempunyai 56,090 pengundi ketika ini.
Pengguguran Zahidi sebagai calon BN pada PRU15 dan digantikan dengan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mengejutkan ramai, terutama kalangan pengundi BN yang selama ini tidak berbelah-bahagi menyokong parti.
Tanding tiket Bebas
Kecewa dengan keputusan parti, Ketua UMNO Bahagian Padang Besar itu memutuskan bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi berkenaan daripada dirampas empat calon lain.
Selain Zahidi dan Zahida, kerusi Padang Besar turut ditandingi calon Perikatan Nasional (PN), Rushdan Rusmi; calon Parti Warisan Malaysia (Warisan), Ko Chu Liang dan wakil Pakatan Harapan (PH), Kapten (B) Mohamad Yahaya.
Ujian kini dialami penyokong BN di Padang Besar, terutama UMNO apabila perlu memilih di antara Zahidi yang pernah menjadi ‘bos’ mereka atau Zahida yang menjadi pilihan BN dalam memastikan kerusi itu dikekalkan dan membantu parti menguasai Kerajaan Pusat.
Zahida yang masih dalam tempoh idah dan tidak dapat keluar berkempen secara bersemuka berkata, keterbatasan yang dihadapi menyebabkan beliau perlu bergantung harap kepada jentera BN di Padang Besar khususnya UMNO sepanjang kempen.
Pada masa sama, beliau turut merayu agar diberi peluang di Padang Besar kerana bakal mengukuhkan kedudukan wanita di dewan pembuat dasar tertinggi negara, selain membawa suara rakyat kawasan berkenaan.
“Ajarlah dan didiklah saya. Saya bergantung harap kepada seluruh jentera BN khususnya UMNO, terutama sekali rakan di cawangan, PDM (pusat daerah mengundi), juga penyelaras DUN, seluruh kepemimpinan dan jawatankuasa UMNO bahagian.
“Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, tenaga dan penat lelah kalian adalah kekuatan saya. Tidak ketinggalan semua rakan komponen MCA dan MIC. Kekanda-kekanda calon DUN BN dalam Parlimen Padang Besar, anda semua adalah sandaran dan rujukan saya.
“Seperti sebuah rumah, kekanda semua adalah tiang seri yang mengukuhkan sebuah rumah yang bernama jentera BN P001 Padang Besar.
“Kukuh dan kuatnya anda, kuatlah kami dalam menerima apa jua badai yang melanda,” katanya.
Ada pihak skeptikal peluang Zahida memandangkan Zahidi adalah nama besar di gelanggangnya sendiri, namun Ketua Wanita UMNO bahagian itu, Asmaiza Ahmad dipetik berkata, penerimaan pengundi terhadap Zahida semakin baik menjelang PRU15.
Katanya lagi, meskipun Ketua Puteri UMNO itu tidak dapat turun berkempen ekoran berada dalam tempoh idah, jentera pilihan raya parti, khususnya Wanita terus giat membantu bagi memastikan kemenangan.
Beliau mengakui, pada peringkat awal, akar umbi mungkin sedikit terkesan ekoran Zahidi tidak dicalonkan, namun akhirnya mereka akan lebih memilih parti berbanding individu.
Berpeluang buat kejutan
Rata-rata pemerhati politik tempatan juga berpandangan sama, melihat Zahida tetap berpeluang membuat kejutan di Padang Besar dan jika Zahidi berjaya mengekalkan kedudukannya di Parlimen itu, ia dijangka perlu melalui saingan yang sengit.
Akhirnya, segala keputusan 19 November nanti terletak di tangan pengundi Padang Besar.
Siapa sahaja diberi mandat, perlu membangunkan bandar sempadan yang bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk utara Semenanjung, tetapi juga seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
