am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenalpasti identiti mayat wanita yang ditemui dalam semak di Marang, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya ada menerima dua individu yang hadir membuat pengecaman ke atas mayat Ahad lalu di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Menurutnya, hasil pengecaman berkenaan mereka memaklumkan mayat itu ahli keluarga mereka berdasarkan tanda-tanda pada badan mayat dan barang-barang peribadi yang dikemukakan dengan beberapa bukti bergambar.
“Namun, identiti sebenar mangsa hanya dapat disahkan selepas Pegawai Penyiasat Kes mendapat keputusan DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia yang akan diterima dalam masa terdekat.
“Kita ingin memaklumkan siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mohd Zain berkata, pihaknya juga meminta kepada orang awam, supaya menjaga sensitiviti ahli keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi liar berkaitan kes yang sedang disiasat.
“Jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kes yang sedang disiasat ini, boleh terus menghubungi Bilik Gerakan IPD Marang di talian 09-6181451 atau hadir ke mana-mana Balai Polis berdekatan,” katanya.
Pada Khamis lalu, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita berusia antara 20 hingga 30-an ditemui di dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali, Marang.
Mayat tanpa identiti itu ditemui dalam semak kira-kira 30 meter dari jalan utama oleh orang awam yang sedang mencari daun palas di kawasan kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd



