Cremonese puas dapat malukan Roma

Cremonese puas dapat malukan Roma

Rom: AS Roma mengalami penyingkiran mengejut dalam saingan Piala Itali selepas kalah 1-2 kepada pelawat, Cremonese, yang terselamat daripada serangan lewat untuk menempah slot ke separuh akhir.

Cremonese, yang masih belum menang dalam saingan Serie A musim ini dan berada di tangga tercorot, sebelum ini menyingkirkan pendahulu liga, Napoli.

Cyriel Dessers menyempurnakan sepakan penalti untuk Cremonese selepas 28 minit aksi berlangsung apabila penjaga gol Roma, Rui Patricio menjatuhkannya di dalam kotak penalti.

Pelawat menambah jaringan empat minit selepas rehat apabila sepakan Charles Pickel di dalam petak penalti tertampan masuk pertahanan Roma, Mehmet Celik.

Roma mendominasi baki separuh masa kedua tetapi pemain Cremonese berjaya menahan serangan, dengan Tammy Abraham hampir untuk menjaringkan gol buat tuan rumah apabila percubaannya terkena tiang pada minit ke-77.

Roma memperoleh gol saguhati empat minit pada masa kecederaan apabila Andrea Belotti menjaringkan gol dengan rembatan dari tepi kotak penalti.

Cremonese akan berdepan Fiorentina di separuh akhir selepas pasukan berkenaan mengalahkan Torino 2-1 hasil jaringan Luka Jovic dan Jonathan Ikone.

Aksi separuh akhir akan diadakan secara timbal balik, dengan satu lagi perlawanan bakal menemukan Inter Milan bersama pemenang di antara Juventus dan Lazio.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top