Diseksa di alam kubur

Diseksa di alam kubur

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَعْضِ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ وَإِنَّهُ لَكَبِيرٌ كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ الْبَوْلِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ فَكَسَرَهَا بِكِسْرَتَيْنِ أَوْ ثِنْتَيْنِ فَجَعَلَ كِسْرَةً فِي قَبْرِ هَذَا وَكِسْرَةً فِي قَبْرِ هَذَا فَقَالَ لَعَلَّهُ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Advertisement

“Daripada Ibnu Abbas R.A dia berkata; Nabi S.A.W pernah keluar dari salah satu kebun yang ada di Madinah, lalu Baginda mendengar suara dua orang yang sedang diseksa di kuburnya, setelah itu Baginda bersabda: “Tidaklah keduanya diseksa kerana dosa besar namun hal itu adalah perkara yang besar, salah satu darinya adalah tidak bersuci dari kencingnya sedangkan yang lain selalu mengadu domba.” Kemudian Baginda meminta sepotong pelepah kurma yang masih basah. Baginda membelahnya menjadi dua, sepotong Baginda tancapkan di kubur yang satu dan sepotong di kuburan yang lain. Baginda kemudian bersabda: “Semoga ia boleh meringankan seksa keduanya selagi daun kurma ini belum kering.””

(Hadis Riwayat Bukhari No: 1361) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu memiliki akhlak yang sejahtera.

2.  Ada orang yang diseksa di alam kubur disebabkan akhlak buruk mereka semasa di dunia.

3.  Dua jenis penghuni kubur diseksa disebabkan tidak membasuh kencing dan kesalahan mengadu domba (menimbulkan permusuhan).

4. Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Disunatkan untuk meletakkan pelepah yang hijau di atas kubur kerana ittiba’ (mengikut Nabi S.A.W), sanadnya sahih, dan kerana sesungguhnya perbuatan itu boleh meringankan azab dengan berkat tasbih pelepah itu, lantaran tasbih itu lebih sempurna berbanding tasbih dari pelepah yang kering, yang mana kehijauan itu adalah sejenis tanda-tanda hidup. Boleh diqiyaskan hukum ini pada apa yang biasa dilakukan dengan meletakkan tumbuhan-tumbuhan yang wangi, dan seumpamanya. Haram mencabutnya (setelah diletakkan) seperti mana yang telah diperbahaskan (oleh ulamak) kerana perbuatan mencabut itu menafikan hak mayat. Namun, pada zahirnya, tidak haram kalau mencabut tumbuhan yang sudah kering untuk dibuang, kerana sudah hilang hak bagi mayat itu kerana kekeringannya, itulah kaitannya. Disunatkan untuk meletakkan yang tumbuhan masih kehijauan dan membuang yang sudah kering, secara keseluruhan, kerana melihat kepada kaitan yang disebut oleh Baginda S.A.W mengenai peringanan azab dengan warna hijau selama mana tidak kering.” (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (3/197)

Jadilah seorang yang pembersih dan sentiasa menjauhi perbuatan mengadu domba.

“Negara Rahmah Ummah Sejahtera”

USTAZ KAMAL ASHAARI
Ahli Parlimen Kuala Krau
Mudir KOMTAQ  
16 Februari 2023 / 25 Rejab 1444H – HARAKAHDAILY 16/2/2023

Scroll to Top