am@hmetro.com.my
Ipoh: Kerajaan tidak campur tangan terhadap pendakwaan ke atas Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang dituduh di mahkamah hari ini atas dakwaan penyelewengan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak membuat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Azlan, apatah mengarah siasatan terhadap individu itu.
“Yang paling akhir (penyelewengan), mantan Menteri Besar Perlis. Saya bukan siasat, bukan saya yang buat laporan kepada SPRM atau polis.
“Sebaliknya saya bagi arahan kerajaan sekarang ini, saya hendak selamatkan negara kita daripada pemimpin yang kayakan diri dengan merompak harta kekayaan negeri, itu tekad saya.
“Susah senang saya hadapi. Kalau orang nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan tetapi saya tidak akan tolak ansur daripada bersihkan negara ini dan selamatkan bangsa serta negara kita daripada tindakan orang yang merompak kekayaan negara.
“Bukan sedikit saudara-saudari dan ini termasuk pimpinan yang ada dalam kerajaan. Baik Menteri atau di kerajaan negeri.
“Saya arah SPRM apa? Ambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang melakukan rasuah. Terutama setelah kita bagi amaran, dibuatnya juga,” katanya berucap di hadapan kira-kira 1,000 tetamu ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Maghrib di Masjid Ittihadiah, Manjoi, di sini hari ini.
Hari ini, media melaporkan Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis hari ini, terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 30 minit mengunjungi Bazar Ramadan Taman Jati di Meru dekat sini hari ini dan sempat beramah mesra dengan penjual dan pembeli.
Beliau sebelum itu menghadiri program Sumbangan Tunai Rahmah yang diadakan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya sebelum kemudiannya dijadualkan menghadiri program solat Isyak dan Tarawih serta jamuan moreh bersama penduduk di Masjid Ghufran, Manjoi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
