Paris: Mayat keenam ditemukan di bawah runtuhan bangunan pangsapuri yang runtuh di bandar Marseille, selatan Perancis pada Ahad, lapor saluran berita Perancis BFMTV.
Lima mayat pertama yang dikeluarkan daripada bangunan runtuh itu sudah dihantar untuk ujian pengecaman asid deoksiribonukleik (DNA).
“Masih ada harapan, kami masih boleh mencari orang yang masih hidup.
“Selangkah demi selangkah, kita mencari perlahan-lahan supaya tidak mungkin mencederakan atau membunuh orang yang masih hidup,” kata Datuk Bandar Marseille, Benoit Payan kepada BFMTV.
Dua bangunan empat tingkat itu sebahagiannya rosak akibat letupan dengan kira-kira 200 penduduk terpaksa dipindahkan dari kawasan kejiranan.
Rakaman televisyen selepas kejadian itu menunjukkan kepulan asap naik daripada runtuhan berkenaan ketika anggota bomba cuba memadamkan kebakaran, manakala anjing pengesan turut digunakan untuk mengesan mangsa.
“Kami tidak mempunyai apa-apa, malah kad pengenalan pun. Kami kehilangan segala-galanya,” kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Roland, dalam wawancara dengan akhbar tempatan La Provence.
Dia berjaya keluar daripada bangunan di 15 Rue de Tivoli bersama isteri dan dua anaknya sebelum ia runtuh bersama sebuah lagi bangunan. Bangunan ketiga sebahagiannya juga runtuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd
