am@hmetro.com.my
Sarikei: Lelaki maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Taman Jasmin di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Johnny Gundak, 39, maut di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 5.47 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan membabitkan Nissan Navara dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dan kereta Proton Saga yang dipandu mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd


