hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Terpisah jauh beribu kilometer dari keluarga di negara asal pada Aidilfitri ini pasti mengundang sebak tiga pelajar luar negara ini.
Namun kemeriahan suasana Aidilfitri di Malaysia berjaya mengubat perasaan itu, sekali gus memberi suasana gembira pada hari kebesaran umat Islam kepada mereka.
Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berasal dari Bangladesh, Sadia Afroz, 24, berkata dia sudah dua kali menyambut 1 Syawal di negara ini dan mengakui suasana Aidilfitri tetap meriah.
Menurutnya, perjalanan jauh yang memerlukan dua hari untuk tiba ke rumahnya dari lapangan terbang selain harga tiket penerbangan mahal membuatnya memilih beraya di negara ini bersama keluarga ibu saudara di Kuala Lumpur tahun ini.
“Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia memberi keselesaan dan kemeriahan Aidilfitri kepada saya biarpun sangat merindui negara asal, keluarga dan makanan tradisional kami di sana.
“Tetapi pengalaman menyambut Aidilfitri di sini juga mengujakan dan bermakna apabila saya dapat melihat suasana baru selain mencuba makanan tradisional seperti ketupat dan rendang ayam,” kata pelajar jurusan kejuruteraan komunikasi itu.
Katanya, biarpun tidak pandai memasak, tetapi dia merancang untuk menyediakan juadah raya negara kelahiran bersama keluarga ibu saudara bagi mengubat kerinduan kepada kampung halaman.
“Kami mahu masak kari daging, ayam panggang dan manisan tradisi seperti ‘shemai’ atau ‘payesh’ tetapi sudah pasti masakan air tangan ibu (Afroza Begum) sangat dirindui terutama ketika Aidilfitri, seperti beriani ‘particularity’ dan kacchi beriani.
“Seperti Aidilfitri tahun lalu, saya akan menziarahi rumah pensyarah dan tahun ini juga akan pergi jika menerima jemputan selain bertemu rakan di Perlis, kemeriahan Aidilfitri memang dirasai di sini apatah lagi penduduknya juga mesra,” katanya.
Pelajar dari Yaman, Mohammed Ameen Shamsan Alhuraibi, 26, berkata tahun ini adalah kali kelima dia menyambut hari raya di Malaysia yang dianggap seperti negara kedua sejak menyambung pelajaran di Universiti Antarabangsa Al-Madinah di sini.
Katanya, keadaan negara asal yang masih dalam situasi peperangan dan kos perjalanan yang mahal menyebabkannya mahu menyambut hari kebesaran umat Islam di negara ini saja.
“Suasana Aidilfitri di sini pastinya berbeza daripada kampung halaman, tetapi saya tetap memanfaatkan perayaan itu dengan meriah bersama rakan biarpun berasa kosong tanpa keluarga.
“Seperti tahun sebelum ini, kami meraikan di kedai makanan Arab dan melawat rakan tempatan untuk mencuba juadah tradisional Melayu pada Aidilfitri yang semuanya juga enak dimakan.
“Tetapi pastinya tiada yang boleh menandingi menu mandi lahm yang dimasak ibu selain turut merindui biskut buatan ibu iaitu ka’ak dan menu nasi iaitu Laham Zurbiyan dan Madfoun,” katanya.
Berkongsi pengalaman sama, All Hasan Koita, 24, penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Gombak yang berasal dari Mali berkata, dia menyambut Aidilfitri di negara ini hampir empat tahun lalu.
Katanya, jarak jauh dengan keluarga memberi ruang ‘kosong’ setiap kali perayaan Aidilfitri namun mengakui rakan senegara membuatnya mengubat kerinduan itu sebagai sebuah keluarga.
“Setiap kali Aidilfitri, saya selalunya dijemput rakan senegara yang bekerja di negara ini untuk bersama menyambut Aidilfitri, isterinya akan memasak makanan tradisional negara kami.
“Kami menyambut Aidilfitri sederhana, tetapi agak meriah dengan cara kami, cumanya saya tidak ada kesempatan melawat rakan tempatan di rumah mereka,” katanya.
Katanya, dia sangat merindui makanan tradisi negara asalnya setiap kali Aidilfitri seperti daging panggang tradisional iaitu dibi-soko dan mafe, yasa dan atchieke.
“Sebagai pelajar yang berada di perantauan, saya meneroka makanan tempatan tetapi juadah negara asal tetap menjadi keutamaan.
“Biarpun saya tidak memasak, tetapi keluarga rakan akan menyediakan menu untuk kami meraikan bersama. Pengalaman Aidilfitri saya biasa saja, tetapi tetap menjadi kenangan berharga di negara orang yang akan dikenang selepas tamat belajar nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

