Raikan hak bersama dalam hubungan intim suami isteri

Raikan hak bersama dalam hubungan intim suami isteri

Kuala Lumpur: Salah satu faktor yang mendorong kepada kelangsungan rumahtangga adalah nafkah batin yang dinikmati bersama antara pasangan suami isteri. Asasnya, hubungan intim antara suami dan isteri berupaya menentukan sama ada pasangan tersebut mengecapi kebahagiaan atau sebaliknya. Ini kerana antara faktor yang mendorong kepada berlakunya penceraian adalah berkaitan dengan hubungan intim/seksual antara pasangan. Dalam surah al-Rum ayat 21 menegaskan bahawa salah satu sebab yang menjadikan hubungan antara suami dan isteri itu dalam keadaan harmoni adalah apabila berlaku interaksi yang baik antara kedua belah pihak dalam hubungan intim.

Bagi pasangan suami isteri yang telah lama mendirikan rumah tangga, pasti ada masanya akan berasa bosan atau jemu untuk melakukan hubungan intim. Tidak sedikit kita ketahui bahawa hubungan intim juga boleh menjadi penyebab kepada konflik antara suami dan isteri apabila tidak dilakukan mengikut lunas-lunas agama. Buktinya masalah seksual merupakan antara salah satu punca pasangan bercerai.

Ada yang bercerai kerana berlakunya keganasan seksual yang dilakukan suami ke atas isteri. Juga wujud isteri yang tidak mempedulikan kehendak seksual suami dengan mencipta pelbagai alasan. Ada suami atau isteri bersikap dingin dalam berhubungan. Perkara ini mungkin berlaku kerana suami mempunyai masalah kesihatan batin sehingga mendorongnya untuk bersikap dingin atau isteri yang enggan hamil terlalu kerap untuk menjaga badan.

Sekiranya keperluan batin tersebut tidak dipenuhi, akan menyebabkan suami atau isteri hilang keintiman dan kemesraan. Akibatnya, mendorong pasangan untuk mencari orang lain bagi memenuhi keinginannya, yang akhirnya mewujudkan pertelingkahan sesama mereka sehingga mendorong kepada berlakunya penceraian. Perbuatan-perbuatan sedemikian jelas membuktikan bahawa suami mahupun isteri telah mengabaikan hak pasangan.

Perbuatan tersebut jelas salah dan berdosa kerana Islam mengajar hubungan intim adalah hak bersama.

Ini dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 187: “Mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka”.

Hak bersama bermaksud suami berhak mendapat layanan yang baik dari isteri, isteri juga mempunyai hak yang sama untuk memperoleh layanan yang baik dari suami. Dengan kata lain, suami mahupun isteri berhak mendapat keperluan seksual daripada pasangan.

Tindakan suami yang tidak memenuhi keperluan seksual isteri dan tetap membiarkannya merupakan suatu tindakan yang zalim. Perbuatan tersebut boleh menyebabkan penderitaan kepada isteri dan mendorongnya untuk melanggar batas-batas ketentuan Allah SWT. Juga tindakan isteri yang tidak memenuhi kehendak suami juga boleh menyebabkan suami mencari kepuasan seks di luar atau berzina dengan wanita lain.

Layanan yang baik dalam hubungan intim adalah suami mahupun isteri tidak melakukan kekerasan fizikal, berbincang dan bersepakat dalam menikmatinya agar isteri tidak teraniaya, melakukan dalam kerelaan tidak secara paksaan, tidak mementingkan diri sendiri dengan mengabaikan keperluan seks pasangan. Juga termasuk dalam layanan yang baik ialah isteri memenuhi keperluan seksual suami sekiranya tidak ada keuzuran seperti sakit, terlalu penat, haid dan nifas. Rasulullah SAW menyatakan bahawa isteri yang tidak memenuhi ajakan suami tanpa keuzuran akan mendapat laknat malaikat sehingga subuh kecuali sekiranya isteri telah bertaubat dan kembali pada suami semula. َ

Terjemahan: Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur dan dia tidak mahu memenuhinya sehingga suami dalam keadaan marah kepadanya maka malaikat akan terus melaknatinya sampai subuh (Hadis riwayat Bukhari).

Malah hak berhubungan intim lebih utama berbanding puasa sunat yang dilakukan isteri dimana isteri wajib meminta keizinan dari suami untuk berpuasa sunat atau isteri wajib membatalkan puasa sunatnya sekiranya suami berkehendak untuk melakukan hubungan intim bersamanya. Di sinilah memerlukan sikap toleransi dan perbincangan. Suami perlu cuba untuk memahami keadaan isteri, begitu juga isteri perlu memahami keadaan dan kehendak suami.

Termasuk juga layanan yang baik ialah tidak membiarkan dan meninggalkan isteri terlalu lama tanpa memenuhi keperluan seksualnya. Pendapat dalam mazhab Hanbali menyatakan perlu menyetubuhi isteri sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh empat bulan. Manakala menurut Ibnu Hazm, suami wajib menyetubuhi isterinya sekurang-kurangnya satu kali dalam setiap bulan jika mampu. Imam al-Ghazali dalam mazhab Shafie pula mengatakan bahawa sebaiknya suami menggauli isteri pada setiap empat malam sekali.

Inilah prinsip keadilan yang dijelaskan dalam Islam iaitu untuk memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak merasai kebahagiaan. Perlu diingatkan bahawa hubungan ini merupakan ibadah dan mendapat pahala sekiranya dilakukan dengan baik dan tidak melanggar batas syarak, sebagaimana mendapat dosa apabila berzina. Rasulullah SAW menjelaskan:

“Dan hubungan intim di antara kalian adalah sedekah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh mendatangi isteri dengan syahwat (disetubuhi) boleh bernilai pahala?” Ia berkata, “Bagaimana pendapatmu jika ada yang meletakkan syahwat tersebut pada yang haram (berzina) bukankah bernilai dosa? Maka sudah semestinya meletakkan syahwat tersebut pada yang halal mendatangkan pahala.”(Hadis Riwayat Muslim)

Tegasnya, prinsip tidak menzalimi dan menganiaya pasangan perlu disematkan dalam diri setiap pasangan. Suami dan isteri perlu berbincang untuk mencapai kata sepakat, apa yang disukai dan tidak disukai pasangan, bertolak ansur dan melakukan yang terbaik untuk pasangan selagi mana ia tidak melanggar batas syarak, agar hubungan intim yang dilakukan dapat mencapai kepuasan bagi kedua belah pihak.

Oleh: Nur Faezah Musthapar
Penyelidik, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya.
Email: faezahmusthapar@gmail.com

Scroll to Top