PM Anwar luluskan peruntukan RM1 juta, bina krematorium Hindu moden di Bagan

PM Anwar luluskan peruntukan RM1 juta, bina krematorium Hindu moden di Bagan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHPP) bagi projek pembinaan krematorium Hindu moden di Bagan, Pulau Pinang.

Jumlah keseluruhan jadi RM2.5 juta

Memetik laporan daripada Bernama, Pengerusi LWHPP, RSN Rayer menyatakan peruntukan tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan bagi projek berkenaan meningkat kepada RM2.5 juta berbanding RM1.5 juta yang diluluskan sebelum ini.

Menurutnya, peruntukan asal didapati tidak mencukupi untuk membina krematorium elektrik moden kedua di Pulau Pinang selepas kemudahan di Batu Lanchang, yang amat diperlukan masyarakat Hindu khususnya di Seberang Perai.

“Kelulusan tambahan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri, dalam memastikan keperluan masyarakat pelbagai kaum dan agama diberikan perhatian secara adil,” katanya pada sidang media di tapak projek berkenaan di Jalan Siram, di sini hari ini.

PM Anwar luluskan peruntukan RM1 juta, bina krematorium Hindu moden di Bagan

Penting sediakan tempat lebih sesuai untuk masyarakat Hindu

Turut hadir Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Kumaran Krishnan.

Sementara itu, Kumaran berkata kemudahan berkenaan penting bagi menyediakan tempat yang lebih teratur, sesuai dan selesa untuk masyarakat Hindu melaksanakan upacara terakhir mengikut adat serta kepercayaan agama mereka.

Beliau berkata kewujudan krematorium itu juga dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat Hindu di Seberang Perai terhadap kemudahan yang terletak lebih jauh.

“Ini merupakan satu kemudahan jangka panjang untuk manfaat masyarakat Hindu, khususnya di Seberang Perai dan kawasan sekitar,” katanya.

Tambah Kumaran, kelulusan peruntukan tambahan itu hasil permohonan dan usaha bersama dengan Lim dan Rayer yang mengutus surat kepada Anwar bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

Proses tender bagi pembinaan krematorium berkeluasan kira-kira 4,000 kaki persegi itu juga telah dibuka dan projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan, sekali gus membolehkan kemudahan tersebut digunakan masyarakat.

Sumber: Bernama

Scroll to Top