ALOR GAJAH: MCA Melaka yakin mampu melakukan kejutan dengan merampas sekurang-kurangnya dua daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Naib Pengerusi MCA Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, keyakinan itu berdasarkan gerak kerja berterusan parti di akar umbi serta penerimaan positif rakyat terhadap usaha Barisan Nasional (BN) mendekati dan menyelesaikan permasalahan rakyat.
Menurutnya, pendekatan menerusi pelbagai program termasuk Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari Exco Bertemu Rakyat (Hebat) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat memberi ruang kepada wakil rakyat turun padang untuk mendengar sendiri denyut nadi rakyat.
“Kita boleh menang dua kerusi. Bawah kiraan kita, kita yakin kita boleh dapat dua kerusi.
“Keyakinan rakyat terhadap BN ini berdasarkan beberapa program yang kita jalankan seperti WRUR, Hebat dan sekarang Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat. Program-program ini membolehkan kita turun berjumpa rakyat dan menyelesaikan masalah mereka,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Machap Jaya di Dewan Terbuka Felda Tun Ghafar, Menggong di sini, hari ini yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Hee Sem yang juga ADUN Machap Jaya berkata, perkembangan positif MCA di Johor turut memberi suntikan semangat kepada parti untuk memperkukuhkan kedudukan di Melaka, termasuk berusaha menawan semula kerusi yang dimenangi DAP.
Sehubungan itu katanya, MCA Melaka berharap dapat bertanding di tujuh kerusi tradisional parti itu pada PRN akan datang.
Tujuh kerusi berkenaan ialah Klebang, Kesidang, Machap Jaya, Bemban, Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan mengenai pembahagian kerusi itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan kepemimpinan tertinggi BN dan MCA.
“Saya tidak terlibat dalam perbincangan kerusi. Saya serahkan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong,” katanya.
Mengenai kemungkinan kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) memberi kesan kepada jumlah kerusi yang bakal ditandingi MCA, beliau berkata perkara itu juga bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan.
Bagaimanapun, katanya, MCA Melaka kekal dengan pendirian untuk memperkukuhkan BN dan yakin gabungan itu mampu membentuk kerajaan negeri sekiranya bertanding secara solo.
“Pendirian saya jika BN bertanding solo, kita boleh menang banyak kerusi dan boleh memimpin kerajaan di Melaka seperti mana pada PRN Melaka 2021.
“Kita yakin atas kepimpinan Ketua Menteri dan usaha yang dilakukan selama ini. Banyak program sudah kita buat dan banyak masalah rakyat sudah kita selesaikan,” katanya. – UTUSAN
