PHNOM PENH: Tan Cheong Min muncul atlet Malaysia pertama merangkul dua pingat emas pada Sukan SEA 2023 selepas mengungguli saingan akhir wusyu Taolu wanita (Nandao + Nangun) hari ini.
Dalam saingan di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, Cheong Min mengumpul 9.65 mata untuk mengumpul keseluruhan 19.16 mata sekali gus mengesahkan kejayaan merangkul emas keduanya.
Pingat perak dimenangi atlet Vietnam Phan Thi Tu Binh yang meraih keseluruhan 18.413 mata sementara Aye Thitsar Myint dari Myanmar mengumpul 18.303 mata untuk membawa pulang gangsa.
Sebelum ini, Cheong Min yang juga juara dunia 2019 dalam acara Nandao, merangkul emas Nanquan wanita yang merupakan emas pertama kem wusyu negara di Sukan SEA 2023, selain menghadiahkan gangsa acara Nandao wanita, Rabu lalu. – UTUSAN ONLINE