Ikan asing penuhi Sungai Gandak selepas tragedi banjir di Nepal

Bettiah, India: Penemuan ikan tidak dikenali dan luar biasa dipercayai dihanyutkan air banjir dari Nepal ke Sungai Gandak serta kawasan tanah rendah mendorong kerajaan Bihar mengeluarkan amaran keselamatan kepada penduduk, lapor The Times Of India.

Kerajaan negeri meminta penduduk di daerah West Champaran dan Gopalganj supaya tidak memakan atau memperdagangkan ikan berkenaan sehingga identiti dan tahap keselamatannya disahkan.

Bahagian Perikanan di bawah Jabatan Tenusu, Perikanan dan Sumber Haiwan mengeluarkan peringatan itu pada Selasa selepas spesies pelik berkenaan ditemukan di beberapa kawasan sungai dan kolam serta kawasan rendah di sepanjang lembangan Sungai Gandak yang terjejas akibat banjir.

Limpahan air banjir dari Nepal memasuki sistem sungai berkenaan menyebabkan beberapa kawasan di West Champaran dan Gopalganj ditenggelami air.

Menurut jabatan itu, ikan boleh dihanyutkan dari kolam, sungai dan kawasan berair ketika banjir sebelum dibawa arus ke lokasi yang jauh.

Sepanjang pergerakan itu, ikan berkenaan mungkin terdedah kepada saliran tercemar, bangkai haiwan serta bahan pencemar lain, sekali gus meningkatkan risiko pencemaran bakteria, virus dan kulat.

“Jangan makan mana-mana ikan yang tidak dikenali atau kelihatan luar biasa. Sehingga mendapat pengesahan daripada jabatan berkaitan, ikan yang tidak dikenali tidak boleh dianggap selamat untuk dimakan,” menurut nasihat amaran itu.

Penduduk turut diminta supaya tidak membeli atau menjual ikan tidak dikenali yang ditangkap dari kawasan berair akibat banjir atau menganggap spesies berkenaan selamat dimakan hanya kerana rupanya menyerupai ikan yang biasa menjadi makanan.

Sesiapa yang mengalami gejala seperti muntah, cirit-birit, sakit perut, pening atau kesukaran bernafas selepas memakan ikan berkenaan dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Sementara itu, Pengarah Dana Hidupan Liar India (WTI), Sameer Kumar Sinha berkata, sebahagian besar ikan yang dihanyutkan ke Sungai Gandak susulan banjir di Nepal dipercayai daripada spesies Bagarius bagarius atau lebih dikenali sebagai ikan keli Goonch dan dipanggil “Gochita” oleh penduduk tempatan.

Katanya, ikan keli air tawar bersaiz besar itu biasanya ditemukan di sungai-sungai berarus deras di India, Nepal dan beberapa kawasan di Asia Tenggara.

Spesies pemangsa itu memakan ikan lebih kecil, ketam serta organisma akuatik lain selain sering bersembunyi di celah batu di kawasan air dalam yang mempunyai arus deras.

Sinha berkata, komuniti tempatan biasa memakan ikan berkenaan, namun ia mudah mereput selepas mati dan boleh mendatangkan risiko kesihatan jika dimakan selepas kualitinya terjejas.

Katanya, orang ramai digesa mematuhi amaran yang dikeluarkan kerajaan Bihar dan sentiasa berwaspada.

Spesies berkenaan kini disenaraikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top