Jerman kenakan sekatan terhadap Russia isu serangan dron Leipzig

BERLIN: Jerman menuduh Russia melakukan percubaan ‘serangan hibrid’ membabitkan dron yang membawa bahan letupan di sebuah lapangan terbang strategik bulan lalu, selain mengumumkan beberapa langkah balas diplomatik terhadap Moscow.

Menteri Dalam Negeri, Alexander Dobrindt berkata, selepas menilai teknologi dron yang digunakan serta risikan lain, kerajaan membuat kesimpulan Russia bertanggungjawab terhadap serangan hibrid di Leipzig pada 4 Ogos.

Beliau menyalahkan ejen bawahan atas operasi itu dan berkata, komponen dron berkenaan, termasuk bahan letupan dan sistem pencucuhan sepadan dengan teknologi yang diketahui digunakan Russia dalam operasi hibrid lain serta dalam perangnya terhadap Ukraine. 

Kesatuan Eropah (EU) menyatakan ‘solidariti penuh’ terhadap Jerman, manakala Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memberi jaminan akan mempertahankan negara anggotanya. Britain, Perancis dan Poland turut menyatakan sokongan padu kepada Berlin.

Menteri Luar, Johann Wadephul berkata, Jerman akan menutup konsulat Russia di bekas ibu negara Bonn pada akhir bulan ini dan membatalkan kontrak bagi Russian House, sebuah pusat kebudayaan Moscow di Berlin.

“Kami mengetatkan kawalan kemasukan terhadap warga Russia dan Jerman akan mencadangkan lebih ramai individu Russia disenaraikan di bawah sekatan EU,” katanya selepas Duta Russia ke Berlin dipanggil untuk memberi penjelasan.

Diplomat tertinggi Jerman turut berikrar untuk meningkatkan tekanan terhadap armada bayangan Russia, istilah yang merujuk kepada kapal tangki minyak lama dan kapal kargo lain yang mempunyai struktur pemilikan tidak telus, yang digunakan Moscow untuk mengelak sekatan Barat.

Presiden Russia, Vladimir Putin kemudian menyifatkan langkah sekatan itu sebagai satu lagi ‘kesilapan serius’, sambil berkata, tindakan itu jelas bertentangan dengan kepentingan rakyat Jerman.

Kedutaan Russia dalam satu kenyataan di Telegram berkata, Dutanya, Sergei Nechayev menolak tuduhan Berlin sebagai tidak berasas dan tidak masuk akal, serta memberi amaran tindakan itu tidak akan dibiarkan tanpa akibat.

Scroll to Top