ATM bakal terima 263 unit Tedung, Kala

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima 263 unit kenderaan model Tedung dan Kala iaitu kenderaan mobiliti tinggi bernilai RM164.91 juta bagi memperkukuh keupayaan taktikal merentasi pelbagai jenis operasi di medan perang.

​ATM berkata, sebanyak 163 unit Tedung akan dibekalkan, terdiri daripada 80 Kenderaan Pembawa Senjata (KPS) Pelancar Bom Tangan (AGL) dan 83 unit KPS Mesingan (HMG) dengan nilai keseluruhan kontrak RM92.91 juta.

​Menurutnya, perolehan dua model aset ini adalah komitmen ATM dalam memperkukuh pertahanan negara dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman semasa serta masa hadapan.

​”Tedung adalah platform kenderaan mobiliti tinggi berasaskan kenderaan pacuan empat roda (4×4) model Agrale Marruá AM250 Double Cab yang dibangunkan untuk menawarkan ketahanan, fleksibiliti dan kebolehgerakan dalam pelbagai persekitaran operasi.

​”Ia dikuasakan enjin diesel Cummins F3.8 Intercooled Turbo yang menghasilkan kuasa maksimum 170 cv (125 kW) dan tujahan sehingga 600 Nm, selain dilengkapi sistem pacuan 4×4 sepenuh masa.

​”Kenderaan ini turut mempunyai kelegaan tanah 350 milimeter (mm), sudut tuju 58 darjah serta keupayaan mendaki sehingga 60 peratus di jalan berturap dan 40 peratus di medan rentas desa,” kata ATM dalam satu hantaran di Facebook tadi.

​Katanya, aset baharu itu dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang Tahun 2026 Peringkat Kementerian Pertahanan di Dataran Wisma Pertahanan, di sini, 27 Ogos lalu.

​ATM berkata, sebanyak 100 unit kenderaan model Kala akan diterima dengan kontrak bernilai RM72 juta bagi memenuhi keperluan taktikal terutama penugasan tinjauan merentasi pelbagai jenis halangan.

​Katanya, ia dikonfigurasi sebagai Kenderaan Tinjau Mobiliti Tinggi (HMRV) untuk memberi kelebihan taktikal dari aspek ketangkasan pergerakan dan keupayaan merentas pelbagai permukaan bumi bagi menyokong keperluan pelbagai jenis operasi ketenteraan.

​”Kala dikuasakan enjin Rotax 900cc ACE Turbocharged berkuasa sehingga 200 kuasa kuda (HP) serta dilengkapi sistem pacuan 2WD/4WD, front differential lock dan suspensi cross-country.

​”Kenderaan itu mempunyai kelegaan tanah setinggi 330 mm dan mampu mengharungi air sedalam 500 mm, melepasi halangan menegak setinggi 300 mm serta merentasi parit selebar 500 mm,” katanya.

​Menurut hantaran itu, kenderaan HMRV itu mempunyai kapasiti seorang pemandu dan tiga anggota lengkap dengan kelengkapan serta senjata.

​Selain itu, perolehan kedua-dua jenis aset itu membolehkan operator Tedung mengubah konfigurasi kepada pelbagai varian mengikut keperluan misi antaranya menjadi kenderaan penarik meriam (KPM), kenderaan untuk radio (FFR), atau pusat arahan (command vehicle).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top