Isu Bukit Malut perlu tindakan proaktif kerajaan Persekutuan – Tun M

Isu Bukit Malut perlu tindakan proaktif kerajaan Persekutuan – Tun M

KUALA LUMPUR- Penyelesaian isu penempatan warga asing di Bukit Malut, Langkawi memerlukan tindakan proaktif kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebahagian besar masalah yang perlu diselesaikan melibatkan agensi-agensi kerajaan Persekutuan.

“Saya ikuti dengan teliti perkembangan berkenaan situasi penempatan di Bukit Malut, Langkawi. Isu ini sudah berlarutan agak lama, juga semasa saya menjadi Perdana Menteri.

“Pembangunan penempatan untuk menampung jumlah penduduk yang akan dipindahkan akan melibat peruntukan yang besar.

“Ini hanya boleh didapati dengan bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di blognya hari ini.

Tambah bekas Perdana Menteri itu lagi, kerajaan Kedah tidak mungkin mampu untuk menyediakan peruntukan sebesar itu bagi membangunkan penempatan baharu.

Bagaimanapun kerajaan negeri katanya, tidak boleh lepas tangan sahaja kerana mereka perlu memainkan peranan untuk menyelesaikan perkara berkaitan yang melibatkan kuasa negeri.

Sejak puluhan tahun lalu, Bukit Malut didiami secara haram oleh warga Myanmar dan sehingga kini dianggarkan lebih 10,000 warganegara negara itu menduduki kawasan berkenaan seterusnya menceroboh tanah kerajaan negeri.- MalaysiaGazette

Scroll to Top