Ipoh: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) tidak akan bertindak secara emosi dengan turun di jalanan susulan isu Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah baru-baru ini.
Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sebaliknya pihaknya menyokong isu akan dibahaskan secara undang-undang melalui Mahkamah Rayuan.
“Saya difahamkan sudah ada satu keputusan oleh pihak Menteri Agama iaitu membuat rayuan, jadi proses undang-undang itu wajar.
“(Berbanding) daripada kita membuat tindakan emosi turun kepada umum (di jalanan), saya kira kita bahaskan secara undang-undang,” katanya selepas menghadiri Program Khas Sempena Israk Mikraj di tapak pembinaan Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan, Manjoi di sini, hari ini.
Mohd Azmi berkata, beliau akan memanggil beberapa jaringan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dalam tempoh terdekat bagi mengemukakan hujah yang akan dibuat ke Mahkamah Rayuan itu.
“Saya akan memanggil beberapa NGO dalam jaringan kita dalam tempoh yang terdekat dalam minggu hadapan untuk kita memberikan hujah-hujah kenapa ia perlu dinilai semula dan kenapa pihak mahkamah perlu menimbangkan hujah yang bakal di sarankan dalam rayuan itu.
“Kita sanggup berdepan dengan mereka untuk kita berhujah secara sihat sehingga kita tahu bahawa sensitiviti kalimah Allah yang sudah lama kita pertahankan kenapa sekarang hendak diungkit.
“Memang isu yang dibincangkan tentang niat sebenar mereka hendak gunakan kalimah itu, tetapi menjadi hak kita hendak betul-betul tahu apa sebenarnya yang tersirat yang mereka mahu,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat di luar sana juga dinasihati agar tidak bertindak di luar undang-undang dengan mengadakan demonstrasi kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.
Mengulas lanjut berhubung isu itu, beliau turut berpandangan keputusan yang dibuat seolah-olah mempunyai agenda tersendiri oleh pihak terbabit apabila ia didesak sehingga ke peringkat mahkamah.
“Kenapa hendak didesak sampai ke peringkat mahkamah, sejak kemerdekaan sehingga hari ini tidak pernah ditimbulkan benda ini dan kita semua faham bahawa kita sudah hidup harmoni.
“Jangan dibandingkan dengan negara lain, lihat Malaysia adalah negara majmuk yang mempunyai sensitiviti, jadi kenapa kita hendak tegangkan.
“Kita bersedia untuk berdialog secara berdepan bagi memastikan keharmonian untuk hidup antara agama dalam negara ini tidak tergugat,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan polis memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengugut mahu melakukan demonstrasi bantahan susulan keputusan mahkamah mengenai penggunaan kalimah Allah serta tiga perkataan lain oleh penganut Kristian negara ini.




