suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Tanjong Sepat: Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Bagan Lalang, di sini, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, mangsa, Mohd Akhil Zamani Sanusi, 17, dilaporkan sedang mandi bersama rakan-rakannya sebelum dipercayai lemas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pihaknya selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang tiba di lokasi pada jam 3.49 petang bagi menjalankan operasi pencarian.
“Maklumat awal daripada pemanggil memaklumkan mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan.
“Kerja-kerja SAR dengan menggunakan bot sedang dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi turut melibatkan enam anggota dengan bantuan jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), kenderaan pacuan empat roda Hilux serta bot bagi memperluaskan pencarian di kawasan pantai berkenaan.
Katanya, setakat ini, usaha mengesan mangsa masih diteruskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




