PETALING JAYA: Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Johor.
Setiausaha Akhbar beliau, Syakirin Husnal memaklumkan, pihaknya akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.
Terdahulu, beliau mengesahkan Salahuddin telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam tadi.
“Sehubungan dengan itu, pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada sema pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.
“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kash kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebentar tadi, anak Ahli Parlimen Pulai itu, Fatihah Salahuddin memaklumkan bapanya telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam tadi.
Timbalan Presiden Amanah itu sebelum ini dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB pada pukul 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.
Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada semalam, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB. – UTUSAN

