
Bojan Hodak – Foto Bernama
KUALA Lumpur (KL) City membuat kejutan apabila mengumumkan pengendali pasukan itu, Bojan Hodak melepaskan jawatannya dan akan menyertai kelab Indonesia, Persib Bandung.
Perkara itu diumumkan menerusi satu sidang media yang diadakan kelab tersebut pada Rabu.
Difahamkan, jawatan yang ditinggalkan pengendali dari Croatia itu akan diambil alih bekas ketua jurulatih Penang FC, Nenad Bacina.
Bojan dilantik mengemudi KL City pada 2021 dan berjaya membimbing pasukan mara ke tiga final.
Ini termasuklah usaha beliau membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun yang sama.
Selain itu, beliau turut membawa skuad warga kota berkenaan bergelar naib juara Piala AFC 2022 dan Piala FA baru-baru ini.



