am@hmetro.com.my
Kuantan: Lebih 1,250 penduduk Taman Perumahan Indera Mahkota Lima, di sini, membantah cadangan pembinaan kondominium mewah setinggi 25 tingkat dalam kawasan perumahan mereka bagi mengelak berlakunya pelbagai masalah jangka panjang.
Antara kesulitan utama yang akan berlaku ialah kesesakan lalu lintas selain tempatan meletak kenderaan terutama apabila 400 unit kediaman disediakan di situ.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Indera Mahkota Lima, Datuk Dr Johan Mat Shah berkata, kawasan cadangan pembinaan kediaman berkenaan yang terlalu sempit akan mengundang keadaan tidak selesa penduduk setempat.
Menurutnya, pelan asal kawasan pembinaan terbabit adalah lot komersil yang hanya dibenarkan membina bangunan tidak lebih tiga tingkat bersesuaian dengan keluasan lokasi berkenaan yang terletak bersebelahan dengan bangunan kedai dan masjid.
Katanya, sekiranya projek pembinaan kondominium setinggi 25 tingkat itu diteruskan, risiko kerosakan struktur rumah penduduk sedia ada akan berlaku terutama disebabkan kerja pembinaan cerucuk
atau tiang pancang dilakukan.
“Saya bagi pihak penduduk berharap pihak berkuasa bertindak tegas dengan tidak membenarkan projek pembinaan kediaman mewah itu diteruskan demi kepentingan penduduk setempat.
“Kami tidak sanggup terus menerus berhadapan kesulitan sekiranya projek berkenaan menjadi kenyataan, pelbagai masalah akan muncul apabila lebih ramai penduduk menetap dalam kawasan sempit,” katanya, di sini hari ini.
Semalam penduduk turut mengadakan perhimpunan secara aman selepas solat Jumaat bagi
membantah cadangan pembinaan kondominium mewah itu.
Beliau menambah, taman perumahan Indera Mahkota Lima kini tiada kemudahan riadah dan dewan, dengan terdirinya kediaman mewah itu nanti akan mengundang tempat tinggal yang tidak selesa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




