KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi komitmen tinggi terhadap usaha memartabatkan syiar Islam di negara ini selaras dengan konsep Malaysia MADANI dengan mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, di bawah Belanjawan 2023.
Sejumlah RM150 juta daripada peruntukan itu akan digunakan untuk menyelenggara fasiliti pendidikan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) termasuk sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar.
Kerajaan turut memberi sumbangan khas sebanyak RM600 kepada 70,000 imam, bilal, noja, marbut, guru kelas agama dan fardu ain (KAFA) dan guru takmir yang membabitkan peruntukan lebih RM40 juta.
Kerajaan juga menaikkan elaun bagi 35,000 guru KAFA daripada RM1,000 kepada RM1,100.
Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff, berkata pemberian dana sedemikian kepada sarjana Islam di Malaysia, menunjukkan kerajaan komited untuk terus memartabatkan syiar Islam.
Katanya, ia sekali gus akan menaikkan semangat dan membuka peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda yang berada dalam bidang keagamaan.
“Agama Islam mesti didahulukan dalam apa jua keadaan sekali pun sama ada dalam isu bajet dan keutamaan dari sudut nasihat, kerana kita negara Islam yang dihormati seluruh dunia.
“Saya berharap supaya bajet membabitkan keagamaan ini dapat terus ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada BH.
Mohd Izhar berkata, walaupun peruntukan dalam Belanjawan negara sentiasa dinaikkan, ia masih belum mencukupi sepenuhnya namun beliau faham bahawa sebagai negara majmuk dengan kepelbagaian bangsa dan agama, kerajaan juga sudah pasti mempunyai keutamaan dan kekangan tersendiri.
“Kita faham kerajaan perlu melihat semua aspek, sama ada mampu atau tidak kerana Malaysia negara unik yang berbilang agama dan kaum jadi banyak perkara perlu dilihat serta dikaji sebelum setiap keputusan dapat dibuat oleh kerajaan,” katanya.
Program beri manfaat

Selain itu katanya, ia turut menunjukkan kerajaan prihatin terhadap program yang dibangunkan oleh mana-mana pihak dalam memastikan masyarakat mendapat manfaat daripada aktiviti bersifat rohani dan keagamaan.
“Banyak lagi yang perlu kerajaan lakukan untuk agama Islam, namun kita faham situasi ekonomi yang tidak mengizinkan dan keadaan tidak begitu stabil, maka saya melihat kita perlu bersyukur dahulu dengan apa yang sudah ditetapkan kerajaan untuk agama Islam di Malaysia ketika ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Izhar berharap, pada belanjawan akan datang kerajaan boleh membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kerana ketika ini terdapat lambakan graduan dalam bidang pengajian Islam.
“Kerajaan boleh membantu memberikan peluang pekerjaan lebih luas seperti membabitkan graduan ini bersama membangunkan institusi halal supaya institusi ini dapat terus diterima di dalam dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Mohd Hapiz Mahaiddin, berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Belanjawan 2023 itu sudah pasti akan memberikan kebaikan yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam.
Katanya, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kemaslahatan umat Islam pada setiap masa.
“Dengan bantuan sedemikian ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan kebajikan umat Islam dan sentiasa diberikan keutamaan,” katanya.
Katanya, jika dilihat secara holistik, bantuan sedemikian sudah pasti masih tidak mencukupi terutama untuk jangka masa panjang.
Beliau memberikan contoh, elaun guru KAFA, yang lebih baik dinaikkan lagi untuk lebih kompetitif dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Ini juga selaras dengan peningkatan elaun serta sumbangan khas seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.
“Peningkatan elaun KAFA diperlukan kerana ia suatu keperluan yang dapat membantu menangani kos sara hidup terutama di bandar besar,” katanya.
Selain itu katanya, komitmen kerajaan untuk memperkasakan peranan JAKIM, secara tidak langsung adalah usaha kerajaan untuk memartabatkan syiar Islam.
“JAKIM adalah badan autoriti agama tertinggi dalam kerajaan yang menjaga, mengurus dan mengendalikan pentadbiran hal ehwal Islam.
“Justeru, JAKIM perlu diberikan peranan lebih besar untuk menyelaraskan hubungan dengan institusi agama negeri di bawah Sultan dan Raja.
“Melalui JAKIM, syiar Islam akan tertegak dalam kerajaan,” katanya.
Sementara itu, bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai inisiaitif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
