PETALING JAYA – Dr. Afif Bahardin terkesan dengan nasihat seorang warga emas di Taman Datuk Harun di sini yang mahu beliau menjadi seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat.
Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Taman Medan itu berkata, mak cik yang dipanggilnya sebagai Mak Long itu memberi nasihat ketika beliau memenuhi undangan makan tengah hari.
Katanya, terkesan dengan nasihat itu, beliau berjanji akan buat yang terbaik untuk warga Taman Medan sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.
“Saya telah memenuhi undangan makan tengah hari bersama Mak Long di Lorong 7A, Taman Dato Harun. Alhamdulillah, Mak Long sempat memberi pandangan dan nasihat yang berguna.
“Kata beliau, jadilah seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat, bantu mereka dan dengar mereka. Saya pegang nasihat beliau, saya akan buat yang terbaik untuk keluarga (warga) Taman Medan. Insya-Allah,” katanya.
Dalam kempen PRN yang berbaki tiga hari lagi itu, Dr. Afif mengajak rakyat Taman Medan keluar mengundi dan memberi kemenangan kepadanya untuk menterjemahkan nasihat Mak Long.
“Taman Medan ialah rumah kita, keluarga kita. Berjalanlah seiringan dengan saya,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam program walkabout, beliau berjumpa pengundi sekitar kawasan Sri Manja Court dan mengambil kesempatan beramah mesra dengan mereka.
Beliau sempat bertanyakan mengenai pandangan mereka untuk menjadikan Taman Medan sebagai pusat ekonomi setempat.
“Mereka menyambut baik cadangan itu. Mereka memang mahukan kemajuan dibawa masuk ke Taman Medan. Insya-Allah, saya bantu,” katanya. – MalaysiaGazette




