
Jenkinson (tengah) mengungguli kategori terbuka antarabangsa SS1 lelaki POPIC 2023 di Pantai Rantau Panjang, Rompin pada Jumaat.
KENT Jenkinson membuktikan sudah cukup bersedia memburu kejuaraan keseluruhan pada Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 apabila muncul juara kategori terbuka antarabangsa SS1 lelaki di Pantai Rantau Panjang, Rompin pada Jumaat.
Pendayung dari New Zealand yang juga naib juara keseluruhan edisi tahun lalu, menamatkan saingan sejauh 14 kilometer dengan catatan masa 58 minit 42 saat, diikuti dua pendayung adik beradik dari Australia Harry dan Charlie Hewitt di tempat kedua dan ketiga masing -masing mencatatkan masa satu jam 02:04s dan 1 jam 04:05s.
“Ia tetap satu perlumbaan yang mencabar walaupun tanpa kehadiran juara bertahan tahun lalu David Mocke.
“Perlumbaan secara berperingkat sebegini tetap memerlukan tenaga yang banyak dan konsisten.
“Saya perlu berhati-hati dengan pencabar saya,” katanya yang membawa pulang RM1,500 selaku juara peringkat pertama.



