am@hmetro.com.my
Pasir Puteh: Ucapan ‘kita bertuah dapat menyaksikan pengebumian ahli syurga’ mengundang pilu dan air mata ahli keluarga serta penduduk kampung yang menyaksikan pengebumian jenazah kanak-kanak autistik yang maut jatuh pangsapuri tingkat 13 dikebumikan, malam ini.
Ucapan itu dilafazkan Imam Tua Mukim Banggol Stol, Ustaz Tuan Mohd Azman Tuan Mat sebaik jenazah selamat dikebumikan jam 10.24 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lepah, Selinsing, di sini, malam ini.
Terdahulu, jenazah Nur Muazzah Aisyah Mubi, 7 tiba dengan van jenazah jam 9.57 malam selepas solat jenazah di Masjid At Taqwa Mukim Berangan.
Tuan Mohd Azman dalam ucapannya turut mendoakan kedua ibu bapa kanak-kanak itu, Ustaz Mubi Mat Hussin,38 dan Nor Azera Ismail, 36 dan anak-anak diberikan ketabahan atas ujian berat yang diterima keluarga berkenaan.
Katanya, di usia tujuh tahun, mangsa disahkan ahli syurga yang pergi dalam keadaan tiada dosa, tidak disoal mengenai solat dan dosa lain.
Ibu saudara mangsa, Misliyah Mat Hussin, 50 berkata, pihak keluarga masih terkejut dengan kejadian yang menimpa namun bersyukur urusan hospital dan pengebumian kanak-kanak itu berjalan lancar.
Katanya, kali terakhir dia bertemu anak saudaranya pada perjumpaan keluarga pada 6 Jun lalu ketika mereka sekeluarga datang ke rumahnya di Selangor.
“Saya tak sempat lagi nak bercakap (dengan ibu bapa mangsa berkenaan kejadian) tetapi tahu melalui berita petang tadi,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan dipercayai autisme maut selepas terjatuh daripada tingkat 13 pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




