Shah Alam : Bakal jemaah umrah diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan lambakan tawaran pakej umrah pada harga terlalu murah hingga mengelirukan, sebaliknya memilih agensi berlesen yang menawarkan harga realistik serta telus.
Bagi menangani isu penipuan dan jemaah terkandas, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) bakal menganjurkan Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026 yang menghimpunkan ekosistem pelancongan Islam daripada agensi sah.
Timbalan Presiden PAPUH, Dr Fathir Alhadad Badri berkata, berbeza dengan pameran pelancongan lain, karnival ini menetapkan syarat ketat kepada setiap pempamer bagi memelihara integriti industri dan memberi keyakinan penuh kepada orang ramai.
“Kami tidak menjanjikan potongan harga melampau seperti yang sering dipromosikan di tempat lain. Sebaliknya, kami menawarkan pakej yang realistik, telus, dan boleh dilaksanakan oleh agensi berlesen,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival, Muhammad Mursyid Abu Hassan menegaskan bahawa kos purata tiket penerbangan sahaja kini sudah mencecah sekitar RM3,600 hingga RM4,000.
Lantaran itu, tawaran pakej umrah lengkap pada harga sekitar RM3,000 atau RM4,000 adalah tidak logik dan berisiko tinggi.
Setakat ini, sebanyak 56 syarikat merangkumi 52 agensi umrah serta penyedia perkhidmatan berkaitan mengesahkan penyertaan dengan 76 gerai ditempah.
Karnival yang disifatkan sebagai pameran pelancongan Islam terbesar di Selangor ini bakal berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka merasmikan karnival ini.
Antara agensi berlesen dan rakan strategik yang mengambil bahagian termasuk Ikhlas.com, Zahafiz Travel, Murshid Al-Haramain Travel, RHB Group, Bank Rakyat dan IKIM.
Pengunjung berpeluang menikmati konsultasi percuma, forum, tawaran pakej eksklusif, serta cabutan bertuah lumayan sepanjang tiga hari acara berlangsung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




