
Kerajaan Pahang menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah kejohanan kanu Siri Piala Dunia tahun depan. Gambar kecil: Raja Shahrul Azremel
PERSATUAN Kanu Malaysia (Masca) menyambut baik hasrat kerajaan negeri Pahang yang telah menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah Siri Piala Dunia tahun depan.
Presiden Masca, Raja Shahrul Azremel Raja Sahar berkata, pihaknya berbesar hati jika kerajaan Pahang mahu bekerjasama dengan badan induk kanu negara itu dalam menganjurkan kejohanan tersebut.
“Sudah tentu ia satu perkhabaran yang baik buat sukan kanu di Malaysia apabila kerajaan Pahang bersedia untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Siri Piala Dunia ini.
“Bagi pihak Masca, saya boleh katakan kami tidak ada sebarang masalah, malah bersedia untuk bekerjasama. Ini merupakan satu petanda positif buat sukan kanu Malaysia untuk mara setapak lagi,” katanya.



