SELANGOR FC berhasrat menyimpan pemain sayapnya, Mohamad Faisal Abdul Halim untuk tempoh yang panjang selepas tampil dengan prestasi memberangsangkan sejak menyertai skuad Gergasi Merah itu musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ketika ini perbincangan pelanjutan kontrak antara kelab dan Mohamad Faisal yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ sedang berlangsung.
“Mickey adalah pemain penting untuk Selangor, kami mahu menyimpan pemain yang terbaik, kami gembira dengan Mickey dan beliau juga bersama Selangor.
“Jadi kami harap dapat melanjutkan kontraknya selama yang mungkin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Selangor dan Citadel Group Technologies di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di sini hari ini.