am@hmetro.com.my
Georgetown: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dan prihatin berhubung isu larangan nyanyian lagu tradisi ketika penganjuran Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan 2023 di sebuah hotel di Kepala Batas.
Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menerusi kenyataan media berkata, pihaknya sudah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.
Menurut kenyataan itu, KPM tidak pernah menghalang nyanyian lagu tradisi dalam pelaksanaan acara bahasa, seni dan kebudayaan.
“Sebaliknya penganjuran acara sebegini memang sentiasa digalakkan kerana ia dapat meningkatkan minat murid selain memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Terdahulu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo meluahkan rasa kecewa atas tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang mengundang perselisihan dan pertelingkahan dalam kalangan rakyat.
Ia susulan halangan ‘Kadavul Valthu’ dan ‘Tamil Valthu’ dipersembahkan pada majlis perasmian Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran KPM.
Beliau turut mendesak campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengambil tindakan sewajarnya egera dalam memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd

