TELUK INTAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyediakan sebanyak 322 Taman Rekreasi Madani (TRM) di seluruh negara, termasuk yang terbaharu di Bandar PR1MA Teluk Intan di sini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu menunjukkan sasaran penyediaan 1,000 TRM dalam tempoh 10 tahun berada pada landasan yang tepat.
Menurutnya, bagi tahun ini sahaja, sebanyak 110 TRM sedang dilaksanakan KPKT menerusi Jabatan Landskap Negara (JLN), dengan 12 daripadanya sudah siap manakala 98 lagi masih dalam proses pelaksanaan.
“Setakat ini bagi tahun 2026, sebanyak 110 TRM sedang dilaksanakan oleh KPKT menerusi JLN dengan 12 TRM telah siap dibina dan 98 lagi sedang dalam proses pelaksanaan.
“Saya berharap baki semua projek TRM yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini seperti yang disasarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Taman Rekreasi Bandar PR1MA Teluk Intan di sini pada Jumaat.

Kor Ming (tiga dari kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Rekreasi Bandar PR1MA Teluk Intan di sini pada Jumaat.
Taman Rekreasi Madani Bandar PR1MA Teluk Intan dibangunkan di kawasan seluas lima ekar bagi menyediakan ruang riadah, kecergasan dan interaksi sosial kepada komuniti setempat.
Kemudahan itu turut dilengkapi tasik rekreasi seluas satu ekar, laluan joging dan pejalan kaki, gelanggang pickleball dan bola keranjang, kawasan permainan kanak-kanak, stesen kecergasan, laluan refleksologi, gazebo serta tandas.
Kor Ming berkata, pembangunan kawasan perumahan perlu bergerak seiring dengan penyediaan kemudahan awam berkualiti bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat.
“Kemudahan awam seperti TRM menyediakan ruang untuk rakyat beriadah, mengamalkan gaya hidup aktif, meluangkan masa bersama keluarga serta membina hubungan kejiranan yang lebih erat.
“Penyediaan ruang awam yang inklusif dan berkualiti seperti ini juga penting dalam usaha kita mewujudkan kawasan perumahan yang lebih berdaya huni serta memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.
Taman berkenaan turut mempunyai laluan sepanjang kira-kira 300 meter yang menghubungkan kawasan utama taman selain menyediakan 84 petak tempat letak kenderaan untuk kemudahan pengunjung.

Kor Ming (depan, dua dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Rekreasi Bandar PR1MA Teluk Intan di sini pada Jumaat.
Bandar PR1MA Teluk Intan yang terletak di Mukim Durian Sebatang dibangunkan di kawasan seluas 57 hektar merangkumi komponen kediaman, komersial, rekreasi dan kemudahan komuniti.
Fasa 1A pembangunan itu merangkumi 324 unit kediaman, 31 unit kedai, surau dan dewan komuniti, manakala tapak Program Residensi Rakyat (PRR) pula melibatkan 400 unit kediaman berserta pelbagai kemudahan sokongan.

