
Nafuzi (tiga dari kanan) mengakui pasukannya perlu konsisten dengan memperolehi kemenangan dalam baki dua perlawanan terakhir selepas ini. – Foto: KDAFC
KEDAH Darul Aman (KDA) FC mempunyai peluang untuk merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 musim depan, selepas mengutip tiga mata penuh dengan mengalahkan Kelantan FC 6-1 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Ketua Jurulatihnya, Mohd Nafuzi Muhammad Zain berkata, kemenangan itu penting kepada pasukannya, bagi merapatkan jarak kutipan mata dengan pasukan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super.
“Sekarang ini kita hanya mempunyai perbezaan dua mata dengan Selangor dan mempunyai dua lagi baki perlawanan saingan liga.
“Tumpuan pada masa ini ialah merebut slot ke pertandingan tier 2 AFC itu, selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke kejohanan tier 1 (Liga Juara-Juara Elit AFC). Jadi persaingan ketika ini hanya Kedah dan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di sini malam tadi.