Ketua jabatan disiasat rasuah seks ditukarkan serta-merta

Ketua jabatan disiasat rasuah seks ditukarkan serta-merta

Kota Kinabalu: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah memandang serius penahanan seorang pejawat awam kerana disyaki meminta habuan seks.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sangat menitikberatkan integriti dan tatalaku penjawat awam negeri seperti yang dijelaskan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008.

Sehubungan dengan itu, katanya, pegawai yang melanggar sebarang peraturan atau terbabit dengan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang akan diambil tindakan serta-merta bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Pegawai terbabit akan ditukarkan serta-merta sementara menunggu prosiding selanjutnya diambil oleh pihak berkuasa.

“Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM Sabah dalam siasatan ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri amat komited dalam menangani isu-isu seperti ini untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap integriti penjawat awam dan ketelusan penyampaian perkhidmatan jabatan.

Hari ini, SPRM Sabah mengesahkan seorang penjawat awam di Keningau ditahan selepas disyaki meminta rasuah seks daripada seorang wanita.

Lelaki berusia 51 tahun yang bertugas sebagai ketua jabatan itu ditahan SPRM Sabah di sebuah hotel di daerah berkenaan pada 3.30 petang semalam.

Berita berkaitan

Minta rasuah seks, penjawat awam ditahan

Scroll to Top