Dua gol Mbappe di hari lahirnya

Dua gol Mbappe di hari lahirnya

Paris: Hari lahir bintang Paris Saint-Germain (PSG) tahun ini, Kylian Mbappe cukup bermakna apabila dua jaringannya memastikan pasukannya menumbangkan Metz 3-1 sekaligus memastikan PSG mengakhiri pusingan pertama Ligue 1 di puncak liga.

Mbappe yang menyambut hari jadi ke-25 jelas berada pada prestasi terbaik untuk membantu PSG menggenggam tiga mata penuh.

Bagaimanapun PSG dilihat agak bergelut pada separuh masa pertama sebelum memperagakan aksi lebih kemas di 45 minit babak kedua perlawanan.

Vitinha membuka tirai jaringan pada awal babak kedua dengan menyempurnakan hantaran lintang Lee Kang In sebelum Mbappe meledak gol kedua untuk meletakkan pasukannya di depan dengan 2-0.

Matthieu Udol membalas satu gol buat pelawat namun Mbappe menyambut satu hantaran pendek sebelum menggelecek penjaga gol dan menjadikan kedudukan 3-1 pada hujung aksi bagi gol ke-18 buatnya dalam liga musim ini.

Sambutan hari jadinya lebih bermakna apabila adiknya yang berusia 16 tahun, Ethan tampil bagi penampilan sulungnya bersama skuad senior pada masa kecederaan.

PSG menamatkan tahun dengan kelebihan selesa lima mata di depan pencabar terdekat Nice, yang menewaskan Lens 2-0 awal pagi tadi menerusi dua gol lewat penyerang Nigeria, Terem Moffi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top