UniKL Ladies juara Liga Hoki Malaysia (Wanita)

UniKL Ladies juara Liga Hoki Malaysia (Wanita)

sukhairi@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Sejarah tercipta apabila UniKL Ladies muncul juara baru Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2021 dalam penampilan pertama mereka selepas menumpaskan Sabah 7-0 pada saingan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Biarpun masih berbaki satu perlawanan, UniKL Ladies sah dinobat sebagai juara selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dan meraih 12 mata dengan berbaki satu perlawanan sebelum tirai liga dilabuhkan Rabu ini.

Sabah kekal dengan enam mata dan kini menghuni kedudukan keempat liga selepas kekalahan kedua malam tadi.

Dengan baki satu aksi menentang Young Tigress, UniKL Ladies sudah berada di luar jangkauan pasukan lain manakala gelaran naib juara kini menjadi perebutan antara PKS Uniten-KPT dan PDRM Blue Warriors.

Terdahulu, PKS Uniten-KPT menewaskan Mutiara Juniors 13-1 manakala dan PDRM menundukkan Young Tigress 9-0.

Bagi UniKL Ladies, kejayaan dalam penampilan pertama itu pastinya satu pencapaian amat manis kerana selain merealisasikan sasaran awal muncul juara, kemenangan itu terus mengukuhkan reputasi skuad universiti itu sebagai kuasa besar hoki lelaki dan wanita negara.

UniKL Ladies memastikan kemenangan mutlak ke atas Sabah dengan prestasi cemerlang penjaring hatrik Nuramirah Shakirah Zulkifli yang berjaya membolosi gawang pada minit ke-14, 41, 50 dan 54.

Kejayaan hatrik itu sekali gus melonjakkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak liga setakat ini dengan tujuh gol daripada empat perlawanan.

Gol lain UniKL Ladies hadir menerusi Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit ke-4 dan Nur Atira Mohamad Ismail pada minit ke-23 dan 29. UniKL Ladies akan melengkapkan kempen liga menentang Young Tigress pada Rabu ini.

Lega dan bangga dengan pencapaian bersejarah itu, pengurus pasukan, Jaldin Ahmad menganggap kejayaan itu terhasil dari komitmen padu semua barisan pemain dan jurulatih serta pengurusan.

“Komitmen tinggi semua pihak terutama pemain menjadi kunci utama kejayaan. Pasukan semakin berkobar-kobar mengharungi cabaran piala seterusnya dan kami akan cuba mencipta kejayaan lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top